Tuesday

DARAH TINGGI

 Hari ni saya tertarik ngan satu entry blogger ni. Jom kita baca tentang fakta penyakit ini. mungkin ada antara kita boleh wat rujukan.

Darah tinggi adalah satu penyakit yang tidak asing lagi di kalangan kita, malah menjadi sebutan saban waktu dan ketika. Ia merupakan satu penyakit genetik yang tentunya berkait rapat dengan keturunan.

Di Malaysia, kajian menunjukkan peratus kejadian penyakit ini adalah sebanyak 24%. Ini bermakna 1 daripada 4 orang rakyat Malaysia mempunyai tekanan darah yang tinggi. Kebanyakan penyakit darah tinggi didiagnos pada usia 25 tahun dan ke atas, sewaktu pemeriksaan kesihatan umum dijalankan.

Jantung bekerja sebagai sebuah pam yang mengepam darah ke seluruh badan. Tekanan darah yang diukur sewaktu jantung mengepam darah dipanggil tekanan darah sistolik (bacaan atas), manakala tekanan darah yang diukur sewaktu jantung berehat dipanggil tekanan darah diastolic (bacaan bawah). Tekanan darah yang normal adalah 120/80 mmHg. Tekanan darah dikatakan tinggi apabila melebihi 140/90 mmHg.




PUNCA-PUNCA TEKANAN DARAH TINGGI

Punca tekanan darah tinggi yang paling utama adalah disebabkan faktor genetik. Bagaimanapun, para pengkaji masih tidak mengetahui secara jelas bagaimana terjadinya peningkatan tekanan darah. Penyakit darah tinggi yang disebabkan oleh faktor genetik ini juga disebut sebagai primary atau essential hypertension.

Selain itu, terdapat beberapa penyakit yang dapat mengganggu fungsi  organ sehingga menyebabkan kegagalan badan untuk mengawal tekanan darah. Contohnya seperti buah pinggang, jantung, sistem saraf dan lain-lain. Keadaan ini juga disebut sebagai secondary hypertension. Secondary hypertension boleh juga berpunca daripada pengambilan ubat-ubatan seperti steroid dan ubat antiradang bukan steroid (NSAIDs). Pengambilan alkohol dan merokok boleh meningkatkan risiko komplikasi tekanan darah tinggi seperti penyakit jantung dan strok/angin ahmar.


TANDA-TANDA DARAH TINGGI

Kebanyakan orang tidak menunjukkan tanda-tanda mereka mempunyai tekanan darah yang tinggi sehinggalah tekanan darah mereka menjadi amat tinggi. Seringkali tanda-tanda yang dapat dijumpai adalah pening, sakit kepala atau hidung berdarah. Periksalah tekanan darah anda secara berkala di Klinik Kesihatan yang berdekatan.


KOMPLIKASI TEKANAN DARAH TINGGI

Tekanan darah tinggi akan menyebabkan tekanan kepada organ-organ penting terutamanya otak, jantung dan buah pinggang, seterusnya mengakibatkan kerosakan organ-organ tersebut. Jenis kerosakan bergantung kepada berapa lama dan berapa cepat tekanan darah meningkat.

Peningkatan tekanan darah yang mendadak boleh menyebabkan:
-  Kekeliruan
-  Khayal
-  Sawan, malah
-  Kematian.
Maka, hendaklah dirawat segera.


Tekanan darah tinggi yang berterusan akan menyebabkan tekanan yang berterusan kepada organ-organ tubuh:
-  Jantung: kegagalan jantung, serangan jantung dan kematian
-  Pembuluh darah: menjadi keras
-  Buah pinggang: kegagalan buah pinggang
-  Mata: pendarahan dan kerosakan pada kawasan sensitive cahaya dalam mata
-  Otak: strok / angin ahmar


Semua komplikasi di atas dapat dicegah sekiranya anda mendapatkan rawatan awal.




SEJAUH MANAKAH RISIKO ANDA UNTUK MENDAPAT DARAH TINGGI?

Daripada kajian, terdapat banyak faktor yang meningkatkan risiko untuk terjadinya tekanan darah tinggi. Antaranya:
  • Umur. Risiko mendapat tekanan darah tinggi meningkat seiring dengan peningkatan umur.
  • Sejarah keluarga. Disebabkan faktor utama tekanan darah tinggi adalah genetik, jika anda mempunyai ibu atau ayah yang mempunyai darah tinggi, kemungkinan besar anda juga mempunyai darah tinggi.
  • Obes/Kegemukan. Meningkatkan risiko tekanan darah tinggi, kerana pada orang gemuk, jantung akan berusaha lebih keras untuk mengepam lebih banyak darah ke seluruh tubuh. Secara langsung, tekanan di dalam pembuluh darah akan meningkat.
  • Kurang bersenam. Jantung pada orang yang kurang bersenam berdetak dengan lebih cepat. Hal ini demikian kerana jantung perlu berusaha lebih kuat untuk mengepam darah pada setiap pengepaman, secara tidak langsung, tekanan darah akan naik.
  • Diet terlebih garam. Garam yang berlebihan akan menyebabkan lebih banyak air atau cairan tersimpan di dalam badan. Dengan meningkatnya kandungan darah, tekanan darah juga turut meningkat.
  • Stres. Stres dapat menyebabkan tekanan darah menjadi tinggi secara mendadak. Prosesnya melibatkan sistem saraf sentral di otak.
  • Merokok dan minum alkohol. Bahan-bahan kimia yang terkandung di dalam rokok/tembakau menyebabkan penyempitan pada pembuluh darah yang akhirnya meningkatkan tekanan darah. Samalah juga halnya dengan alkohol.

BERAPA KERAPKAH PEMERIKSAAN BERKALA PERLU DILAKUKAN?

Anda perlu membuat pemeriksaan kesihatan umum sekurang-kurangnya 2 tahun sekali pada umur 20 tahun dan ke atas. Jika masalah tekanan darah dapat diketahui lebih awal, anda tidak perlu memakan ubat. Hanya perlu menjaga pemakanan dan meningkatkan senaman.


APAKAH UBAT DARAH TINGGI?

Langkah utama dalam pengubatan tekanan darah tinggi adalah dengan mengawal tekanan darah. Target tekanan darah adalah 140/90 untuk orang yang sihat, 130/80 untuk orang yang mempunyai penyakit buah pinggang, dan 120/80 untuk orang yang mempunyai penyakit jantung.

Tekanan darah dapat diturunkan dengan mengurangkan penyebab-penyebab berlakunya tekanan darah tinggi seperti yang telah disebutkan di atas; kurangkan garam dalam makanan, berhenti merokok dan berhenti minum alkohol, bersenam, kurangkan berat badan dan kurangkan stres.

Jika tekanan darah tidak dapat dikurangkan dengan cara-cara di atas, maka anda perlulah memakan ubat dengan teratur. Kadang-kadang, beberapa kombinasi ubat diberikan. Tujuannya adalah untuk mengurangkan kesan sampingan sekiranya ubat yang sama diberikan.

Antara jenis-jenis ubat yang diberikan adalah:

-  Thiazide, merupakan pilihan utama dalam pengubatan darah tinggi. Ubat ini bertindak pada buah pinggang untuk membuang garam dan air dari badan.
-  Beta blockers, bekerja di jantung dan pembuluh darah. Ianya juga berkesan jika digabungkan dengan ubat-ubat thiazide.
-  Angiotensin converting enzymes inhibitors (ACEi), bertindak mengendurkan pembuluh darah.
-  Angiotensin-II receptor blockers, juga bekerja pada pembuluh darah.
 Calcium channel blockers, bertindak dengan mengendurkan otot-otot pada pembuluh darah.
 Renin inhibitors, bertindak pada buah pinggang.

Selain itu, terdapat beberapa jenis ubat lagi yang digunakan untuk menurunkan tekanan darah tinggi.


KESIMPULAN

Tekanan darah tinggi bukanlah suatu penyakit yang tidak dapat dihilangkan, ianya dapat dikawal selagi anda mengamalkan gaya hidup yang sihat, pemakanan yang unggul dan mengelakkan faktor-faktor risiko yang menyebabkan tekanan darah tinggi.

sumber psipum